Ticker

6/recent/ticker-posts

Ulasan Buku : Ayah oleh Irfan HAMKA




    Menjadi seorang ayah menjadi suatu nikmat dan kebanggaan bagi seorang lelaki. Ayah juga adalah ketua dalam sesebuah keluarga dan menjadikan seseorang lelaki yang bergelar ayah itu menggalas tanggungjawab yang sangat berat terhadap keluarganya. Di saat merebaknya wabak COVID-19 pada tahun ini, kita dapat menyaksikan ramai para ayah yang tinggal dirumah bersama keluarga. Ada yang melakukan pelbagai aktiviti bersama anak dan keluarga. Ini akan menjadi satu kenangan yang indah buat anak-anak dan keluarga. Sebenarnya, sudah lama saya ingin memberikan ulasan dan berkongsi manfaat dari buku ini.

    Buku Ayah ini, merupakan satu catatan pengalaman daripada seorang anak untuk ayahnya Buya HAMKA. Pelbagai kisah suka dan duka Irfan HAMKA bersama-sama ayahnya, sejak kecil, remaja, dewasa, berkeluarga sehingga saat ayahnya meninggal dunia dikongsikan dalam buku ini. Sebagai pendakwah, ahli politik dan sasterawan, kehidupannya penuh liku dan cabaran. Beliau difitnah, dibenci dan dipenjara, namun jiwa penyayang tetap memaafkan. Penceritaan buku ini adalah dari pandangan seorang anak, kerana Ayah bukan sekadar seorang ayah, tetapi seorang ayah yang hebat. Ayah yang bagaikan seorang sufi.

    Dalam buku yang bertajuk Ayah ini, penulis iaitu Irfan HAMKA, anak kepada Buya HAMKA sendiri telah menulis dan mencatatkan memori-memori indah sewaktu bersama ayahnya dahulu. Irfan HAMKA tidak membahaskan tentang Ayahnya sebagai ulama, sasterawan, cendekiawan atau pemimpin masyarakat, tetapi beliau menulis sebagai mengenang ayahnya seorang yang sangat dicintai isteri, anak-anak, keluarga, murid-murid dan sahabat-sahabatnya, mahupun kawan atau lawan.

    Melalui ceirta yang disampaikan oleh penulis berkenaan HAMKA, dapatlah kita mengetahui dengan lebih akrab tentang peribadi HAMKA, kerana isitmewanya buku ini adalah kerana diceritakan sendiri oleh anak Buya HAMKA yang melalui suasana kehidupan bersama ayahnya.

    Buku ini dimulakan dengan mengenang tiga nasihat Buya HAMKA yang disampaikan baik kepada Jemaah di pengajiannya atau secara khusus yang datang ke rumahnya. Ketika masih kecil Irfan HAMKA menyaksikan sendiri ayahnya sebagai pejuang kemerdekaan Indonesia pada waktu itu. Ayahnya juga mengajar anak-anaknya mengaji dan mengajarkan ilmu persilatan kepada Irfan sehingga dengan ilmu-ilmu tersebut Irfan menjadi salah seorang Komandan Batalion di Panjaitan, Askar Arif Rahman Hakim dari Angkatan 66.

    HAMKA sangat berpegang teguh dengan soal akidah dan tiada kompromi bagi beliau apabila berkaitan soal akidah. Pernah suatu ketika beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Umum (MUI) dan diminta untuk menarik semula fatwanya yang mengharamkan sambutan Hari Natal oleh orang Islam, lalu beliau menolaknya. Akibat dari perkara tersebut, beliau telah melepaskan jawatan tersebut.

    HAMKA juga seorang ayah yang rajin dan sentiasa melazimi membaca Al-Quran pada setiap masa. Samada secara duduk, menyandar atas katil, atau sambil berbaring. Beliau akan terus membaca Al-Quran selama dua hingga tiga jam. Kadang-kadang beliau boleh menghabiskan lima hingga enam jam sehari untuk membaca Al-Quran.

    Mengenali peribadi HAMKA ini juga, beliau adalah seorang yang sangat kuat dan gemar membaca. Beliau membaca buku hamper setiap masa. Selain membaca, beliau juga rajin mencatat dalam buku tulisan hal-hal yang bagus diingatinya. Beliau pernah berkata, “ Yang sangat disayangi di dunia ini, yang pertama nenek dan datuk, yang kedua buku catatannya”.

    HAMKA mengajar kita agar hidup mestilah sentiasa berlapang dada sesama manusia, tidak menyimpan dendam, sebaliknya mengutamakan kemaafan. Ini jelas, apabila salah satu bukunya yang bertajuk Peribadi, beliau ada menyebut, “Membalas baik dengan jahat adalah perangai yang serendah-rendahnya. Membalas kejahatan dengan kejahatan bukanlah hal yang lebih baik. Membalas kebaikan dengan kebaikan adalah hal yang patut dibiasakan. Akan tetapi, membalas kejahatan dengan kebaikan adalah cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya. Kita harus sanggup hidup memberi cita-cita itu tumbuh”.

    Buya HAMKA seorang yang juga sentiasa berlaku adil dan berlemah lembut terhadap anak dan isterinya. HAMKA biasanya suka bertanya pendapat isterinya terlebih dahulu dalam sesuatu hal. Apabila isterinya Siti Raham meninggal dunia, beliau akan mengatasi duka laranya dengan bersenandung dengan suara yang hamper tidak kedengaran, beliau menyenandungkan “Kaba”. Senandung Kaba ini biasanya dinyanyikan dengan iringan sejenis seruling yang dikenali sebagai saluang atau rebab. Jadi, apabila beliau siap bersenandung, beliau akan mengambil wuduk lalu solat. Setelah solat beliau akan menyandarkan diri sambil membaca Al-Quran sehingga hanyut pembacaannya. Begitulah HAMKA, apabila kehilangan orang yang dicintainya dan beliau risau kecintaan itu melebihi kecintaan kepada Allah, maka cepat-cepat beliau mengambil wuduk, solat taubat dan membaca Al-Quran agar dipusatkan kecintaan itu hanya kepada Allah.

    Irfan HAMKA juga menceritakan kisah yang ramai sudah tahu, iaitu Buya HAMKA pernah ditahan oleh rejim Soekarno dan dipenjarakan selama dua tahun empat bulan. Selama tempoh tersebut, beliau telah menulis dan menghasilkan sebuah tafsir AL-Quran yang sangat popular iaitu Tafsir Al-Azhar 30 Juzu’.

    Buya HAMKA meninggal dunia pada hari Jumaat tanggal 24 Julai 1981, pukul 10.37 pagi di Rumah Sakit Pusat Pertamina (RSPP), apabila doktor yang merawatnya mengesahkan tahap kesihatan beliau semakin teruk dan perlu menggunakan perentak jantung. Beliau mengalami penyakit Diabetes Melitus. Akibat daripada komplikasi tersebut, jantung beliau gagal berfungsi dengan baik. Akhirnya, setelah selsesai ahli keluarganya berunding dan tidak sanggup melihat penderitaan ayah mereka iaitu HAMKA, maka Rushdi, anak kedua HAMKA telah memberikan keputusan supaya semua ahli keluarga ikhlas agar perentak jantung dilepaskan.

    Sebenarnya banyak kisah-kisah yang ingin disampaikan, antaranya, kisah ketika HAMKA bercakap dengan jin yang mendiami rumah mereka dan membiarkan jin tersebut tinggal dirumah mereka. Kisah HAMKA dan kucingnya Si Kuning yang sangat setia dengan tuannya iaitu HAMKA, sehinggalah HAMKA meninggal dunia, Si Kuning akan duduk dikubur HAMKA. Kisah perjalanan maut HAMKA ketika menunaikan haji bersama isteri dan Irfan HAMKA. Dimana pada waktu tersebut telah berlaku kejadian yang sangat aneh, dan HAMKA tenang menghadapi kejadian tersebut yang hampir meragut nyawa mereka sekeluarga didalam kereta dilereng bukit.

    Jika anda ingin mengetahui kisah-kisah kehidupan HAMKA, saya cadangkan anda membaca buku ini. Kerana buku ini adalah catatan secara langsung yang ditulis oleh anaknya sendiri sewaktu hidup bersama beliau sehinggalah beliau meninggal dunia.


#ulasanbuku
#abambuku

Post a Comment

0 Comments