Selesai membaca naskhah ini yang dialih bahasa oleh Sue Oshin. Buku ini sangat ringan untuk dibaca dan difahami. Bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak tapi juga untuk golongan dewasa. Abam ambil masa 2 hari untuk habiskan bacaan ni, kalau nak ikutkan sehari je dah boleh habis, tapi disebabkan kekangan masa dengan tugas, buku ni hanya dibaca pada waktu malam sahaja sambil baring-baring sebelum tidur.
Buku ini adalah buku yang ditulis oleh Johanna Spyri. Johanna Spyri merupakan seorang penulis yang berasal dari Hirzel, Switzerland. Kerinduannya terhadap kampung halamannya di sebuah perkampungan menjadi salah satu sebab beliau menulis buku tersebut.
Kisah Heidi memaparkan watak seorang kanak-kanak yatim piatu yang kehilangan ibu dan ayahnya sejak kecil. Ayahnya merupakan seorang tukang kayu. Setelah kematian kedua orang tuanya Heidi tinggal bersama makciknya Detie, kemudian Heidi diserahkan kepada datuknya Uncle Alp.
Antara babak yang menarik perhatian abam (bab ni Abam suka, bab khas tentang buku dan membaca ) ialah Heidi seorang kanak-kanak yang tidak tahu membaca, beliau ada ciri-ciri seorang pempengaruh yang berkesan keatas setiap orang. Suatu hari nenek Clara datang melawat Clara, kesempatan yang ada, nenek Clara telah mengajar Heidi membaca. Heidi sangat berminat, beliau mengulang-ulang proses membaca tanpa jemu. Usaha berterusan Heidi akhirnya membuahkan hasil. Heidi berjaya membaca. Heidi mendapat hadiah buku dari nenek Clara.
Proses membaca beliau tidak berhenti setakat itu sahaja, setelah Heidi pulang ke kampung halamannya, beliau membacakan buku Puisi kepada Grannie iaitu nenek Peter. Proses belajar Heidi beralih kepada mengajar pula. Heidi mengajar Peter membaca, Peter walapun sudah lama bersekolah, tetapi masih belum boleh membaca berbanding Heidi yang tidak bersekolah. Sikap Heidi yang menjadi pendorong dan memberika motivasi kepad Peter telah menaikkan semangat dan minat Peter untuk terus berusaha belajar membaca. Seperti biasa, usaha yang berterusan dan dorongan seorang sahabat akhirnya membuahkan hasil. Peter berjaya membaca!.
Perwatakan Heidi yang suka menziarahi dan menghormati orang tua dan sesiapa sahaja menyebabkan beliau sentiasa disenangi. Heidi rela berkorban untuk orang lain dan melupakan kesenangan diri. Ketika ditawarkan pemberian oleh nenek Clara, Heidi meminta supaya diberikan kepada Grannie (nenek Peter yang sudah tua dan uzur). Sebenarnya, dari mana Heidi mendapatkan sifat-sifat seperti itu? dari mana beliau belajar sifat-sifat seperti itu?
Kisah Heidi juga menunjukkan nilai persahabatan, kekeluargaan dan kemasyarakatan. Heidi mengambil berat tentang nasib dan keadaan nenek tua yang uzur yang tidak pernah dipedulikan oleh sesiapa sebelum ini. Sekarang tengah viral isu bendera putih bagi sesiapa yang memerlukan bantuan. Abam rasa orang politik yang selalu cakap banyak tu kena baca kisah Heidi boleh dijadikan pengajaran. Jika kita tak dapat nak membantu, jangan menghalang untuk orang meminta bantuan, jangan menghalang untuk orang lain memberikan bantuan.
Cerita ni dari awal sampai habis rasa enjoy je bila baca. Gembira, sedih, kecewa, itu perkara biasa bila hanyut dalam pembacaan. Ok lah, tak nak cerita banyak-banyak. boleh baca sendiri buku ni. Pasti tak rugi sambil pekena kopi dan roti.
0 Comments